Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah orang besar yang menentang penjajahan Inggeris di Semantan, daerah kekuasaannya di Pahang, Tanah Melayu.
Bapa Dato’ Bahaman ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di daerah Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.
Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.
Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Dato’ Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan Inggeris. Beliau tidak mengiktiraf pemerintahan Inggeris diPahang sejak awal lagi dan mencetuskan kebangkitan di Pahang.
Awal penentangan
Segala-galanya bermula pada Oktober 1888 apabila British melantik JP Rodger sebagai Residen Pahang. Pihak Inggeris sememangnya sudah lama mengintai peluang untuk menjajah Pahang dan peluang mereka terbuka apabila mengetahui Sultan Pahang bermusuhan dengan dengan adindanya, Wan Mansur. Rancangan Wan Mansur untuk menyerang Sultan Ahmad diketahui British dan bangsa asing itu mengambil kesempatan untuk berbudi kepada Sultan Ahmad dengan mematahkan cubaan serangan itu.
Melihat seolah-olah Sultan Ahmad sudah termakan dengan budi yang ditabur mereka, British mengutuskan Hugh Clifford untuk memujuk Sultan supaya menerima seorang residen untuk membantu baginda memerintah Pahang. British sebenarnya memasang helah untuk menjajah Pahang bagi membolehkan mereka memungut hasil bumi yang banyak di negeri itu. Pihak British seterusnya memujuk Sultan Ahmad bagi membolehkan pihak Inggeris campurtangan di dalam pemerintahan Pahang kerana mahukan hasil bumi Pahang seperti balak, bijih timah, getah, gading, rotan, emas dan padi.
Untuk menangani masalah campurtangan pihak Inggeris di Pahang, Sultan Ahmad mengadakan mesyuarat bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan pembesar-pembesar Pahang di Kuala Bera, Temerloh. Selepas mesyuarat sulit yang diadakan di Sungai Salan, Pulau Tawar, Jerantut, semua pihak membuat keputusan tidak bersetuju membenarkan campurtangan pihak Inggeris ke atas Pahang.
Pada tahun 1885, British telah mengangkat Wan Mansur, kekanda kepada Sultan Ahmad menjadi Raja Muda. Berikut berlakunya kematian seorang Cina di istana Sultan Ahmad telah menyebabkan Sultan Ahmad terpaksa menandatangani perjanjian membenarkan British campurtangan dalam pemerintahan Pahang. Walaupun pada mulanya baginda enggan menerima kehadiran bangsa asing, atas beberapa helah dan desakan dari British, Sultan Ahmad akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima seorang Residen British di Pahang.
JP Rodger pada mulanya hanya berkhidmat sebagai penasihat Sultan untuk memerintah negeri tetapi lama-kelamaan lelaki asing itu mula besar kepala. Dia mula mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta masuk campur ke dalam adat dan agama penduduk tempatan. Rodger mula merangka pelbagai peraturan sesuka hatinya tanpa berunding dengan sultan atau pembesar negeri. Sultan Ahmad dipaksa meluluskan segala peraturan yang diperkenalkan olehnya. Antara peraturan diperkenalkan Rodger, ternyata melanggar adat resam orang Melayu. Antaranya ialah melarang penduduk membawa senjata atau keris sesuka hati.
Rodger juga melarang pembesar negeri memungut cukai walaupun sebelum itu, semua pembesar diberi mandat oleh Sultan untuk memungut cukai, sebaliknya, Rodger melantik pegawainya, E.A Wise untuk mengutip cukai. British juga melantik E.A Wise sebagai majistret dan pasukan polis di kalangan pegawai mereka bagi mengawal dan mengadili kes jenayah dan secara tidak langsung mengurangkan kuasa pembesar Melayu yang dipertanggungjawab menjalankan tugas berkenaan sebelum itu.
Tindakan Rodger menimbulkan kemarahan pembesar Melayu terutama Dato’ Bahaman. Beliau enggan tunduk kepada perintah British dan terus mengutip cukai di Semantan. Tindakan Dato’ Bahaman itu menyebabkan British menghantar surat amaran kepada beliau tetapi tokoh pahlawan itu tetap tidak mengendahkannya. Tindakan Dato’ Bahaman itu turut disokong penduduk yang enggan bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri.
Ketegangan bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Dato’ Setia Perkasa Pahlawan, Orang Kaya Semantan.
Oleh kerana perlucutan jawatannya oleh Sultan dipengaruhi oleh Inggeris, Dato’ Bahaman bersumpah akan menghalau orang-orang Inggeris keluar dari Pahang kerana mereka telah memalukannya.
Pada Oktober 1891, British menghantar 25 anggotanya ke Balai Polis Lubuk Terua bagi mengawasi tindak-tanduk Dato’ Bahaman. Kemuncak kepada kebiadapan British apabila pihak Inggeris menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman di Sungai Semantan ketika sedang memancing ikan. Ketiga-tiga orang pengikut Dato’ Bahaman itu dibawa ke rumah pasung Lubuk Terua untuk diadili dan dihukum. Pihak Inggeris menuduh Dato’ Bahaman menyuruh ketiga-tiga orang itu mencuri hasil hutan tanpa kebenaran dan memerintahkan Dato’ Bahaman ditangkap dan dihukum. Salah seorang pengikut Dato’ Bahaman yang telah ditangkap berjaya melepaskan diri dan memberitahu Dato’ Bahaman tentang rancangan jahat Inggeris.
Dato’ Bahaman kemudiannya meminta pihak Inggeris membebaskan penduduk yang ditahan sebaliknya pihak Inggeris menunjukkan sikap besar kepala dan enggan mengikut arahan berkenaan. Mereka berkeras membawa tahanan itu ke Balai Polis Lubuk Terua untuk ditahan dan dibicara. Kesabaran Dato’ Bahaman berakhir dan beliau bersama pengikutnya menyerang pasukan polis British ketika mereka dalam perjalanan membawa tahanan ke balai polis berkenaan.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai Inggeris Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak Inggeris dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak Inggeris sekali lagi ditewaskan.
Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Pihak Inggeris yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dan meminta bantuan dari Singapura.
Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.
Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1995 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1996, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut. HASIL KERJA: SIRAAJ (2RK1)
No comments:
Post a Comment