Melaka amat dikenali kerana keunikan
sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari
Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan
Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit,
baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu
dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari
Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan
diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam
iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.
Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing
perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum
dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk
membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat
baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon
tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan
untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.
Pilihan
Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang
strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang
menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya
tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan
pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat
telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk
dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah
memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah
meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan
pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.
Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan
Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka
adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta
Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah
pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera
serta timah dari Tanah Melayu.
nama:fatin illyana & ema
No comments:
Post a Comment