Wednesday, October 5, 2011

TUN HUSSEIN ONN


Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn menerima pendidikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Malangnya pendidikan beliau tidak dapat diteruskan selepas menamatkan Senior Cambridge kerana meletusnya Perang Dunia Kedua. Tun Hussein terus menyertai Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan menjalani latihannya di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India dan setelah ditauliahkan beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19.
Bermula tahun 1942 Tun Hussein terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, Tun Hussein ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.
Apabila Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Tun Hussein kembali ke Tanah Melayu dan memulakan tugasnya sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, Tun Hussein dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa.
Kemudiannya Tun Hussein menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Beliau dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.
Semangat Datuk Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Tun Hussein kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, Tun Hussein dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Di samping penglibatannya dalam politik, Tun Hussein memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Walau bagaimanapun penglibatan Tun Hussein mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Datuk Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Tun Hussein kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Tun Hussein kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang diLincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958.
Sekembalinya ke tanah air Tun Hussein membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau telah pun berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj Mohd Noah dan mempunyai 6 orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969 Tun Hussein dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan beliau mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana Tun Hussein memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah sahaja pada Mei 1969.
oleh:SITI HAJAR NURIZZATI BT MOHD RAZALI

No comments:

Post a Comment